islam di nusantara 3

Peredaran sejarah seperti telah membawa kembali unsur-unsur imperialisme budaya baru dalam konteks sezaman. Kebudayaan asing terutama budaya hedonisme Amerika dan Barat diterima tanpa ukuran moral atau akhlak dalam perspektif budaya dan agama sendiri lagi. Maraknya gejala sosial dan budaya hedonisme di kalangan generasi muda terutama dikalangan anak-anak remaja dan penyakit rakus serta gila kuasa di kalangan orang dewasa dan para pemimpin, adalah bukti jelas daripada tindak tanduk penyimpangan daripada pola yang diterima turun temurun ini, suatu akibat daripada kecuaian dan kelalaian yang membawa kepada terhakisnya pendidikan agama dan nilai budaya.

Cabaran pada abad ke 21, mahu tidak mahu umat serumpun Melayu sama ada yang beragama Islam atau beragama lain akan menghadapi suatu zaman kemajuan yang luar biasa khususnya pengaruh teknologi moden. Pencapaian manusia dalam ilmu sains ini menjadikan kita berhadapan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, sehingga sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan. Manusia kadangkala terjebak oleh akal dengan pengaruh pemikiran dan falsafah atau berasaskan kepercayaan ciptaan manusia sendiri. Manusia mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap agama wahyu. Pengaruh globalisasi, pascamodenisme dan liberalisasi menuntut gerakan agama dan para ulamanya perlu bersama melibatkan diri menghuraikan kekusutan konflik peradaban corak baharu yang mengasak kesejahteraan dan kebahagian manusia. Ada suatu macam penolakan tentang the grand narrative yang ditanzilkan dari langit itu. Namun begitu dengan kepakaran dan pencapaian manusia sehebat itu pun, manusia belum dapat atau tidak berjaya sepenuhnya memberikan ketenangan kepada manusia sendiri. Mereka mengadu takut, luntur kebahagiaan, resah gelisah, berduka cita dan sakit jiwa. Di Eropah dan Amerika atau dikalangan penganut agama falsafah ciptaan manusia itu, ada penyakit rohani yang sukar diubati lagi. Mereka sendiri oleh kurangnya penghayatan dan gagalnya menghayati panduan sebenar terus tidak berdaya mengubatinya hatta dengan menggunakan unsur-unsur kemajuan dan kecanggihan teknologi baru yang dicipta itu.

Kini kerana pengaruh asing yang tidak terkawal dan salah tafsiran dalam kesepaduan ilmu antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, maka perlumbaan memperoleh ilmu dibataskan kepada kemakmuran duniawi semata-mata. Matlamat keilmuan demi keimanan, ketakwaan, keikhlasan, warak dan tawadhuk dengan keunggulan akhlak mulia hilang daripada sahsiah para ilmuwan sendiri. Krisis aqidah dan lunturnya teladan Islam daripada para ilmuwan tadi mengakibatkan timbulnya aneka masalah keruntuhan akhlak umat Islam zaman moden ini. Jalan penyelesaian gagal dicari dan umat kekal terbelenggu dalam kemelut yang tidak menentu. Tujuan keseimbangan kehidupan antara duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat, manusia dan alam tabii, umat dan negara, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan kreativiti terlihat kehilangan konsep ‘al-hikmah’ dan ‘al-mizan’. Manusia dibelenggui belitan syaitan dengan kegilaan kepada kekayaan harta benda dan ketinggian darjat serta terpinggirnya upaya memperjuangkan ‘ketinggian kalimatullah’ dalam pendidikan manusia.

Dikalangan umat Islam global juga mula dibimbangi bahawa pengaruh-pengaruh sedemikian akan mula menyelinap masuk mempengaruhi kehidupan kebudayaan sejahtera yang mereka miliki. Ancaman pengaruh itu tersebar melalui media elektronik seperti telivisyen, radio, CD Rom dan internet atau banyak juga melalui filem Hollywood dan Bollywood. Negara-negara Islam dijebak oleh agenda perangkap persaingan agama atau perancangan strategik global yang dipasang oleh Yahudi dan Nasrani. Sesuatu perlu dilakukan bertujuan membetulkan kembali konflik budaya dan isu akidah umat masa kini. Umpamanya sudah ada tendensi dikalangan belia Islam bukan sahaja di rantau Melayu bahkan di seluruh dunia Islam mengambil bahagian dan merayakan Hari Memperingati Kekasih (Valentine’s Day) pada 14 Februari setiap tahun, sesuatu yang mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian. Perayaan zaman pertengahan di Perancis dan England itu mengaitkan tarikh memperingati peristiwa Saint Valentine, seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II, kerana mengahwinkan seorang askar secara rahsia yang ditegah oleh undang-undang Rom ketika itu, sebagai hari mencari pasangan atau jodoh, anggapan ‘hari burung-burung mencari pasangan’. Hal ini ternyata bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana Islam menganjurkan kasih sayang sepanjang masa dengan keutamaan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan sesama manusia.

Musuh-musuh Islam di mana-mana telah memulakan agenda dan menggunakan segala macam alasan bagi mensahihkan sesuatu tindakan termasuk pencerobohan, penaklukan dan peperangan. Peperangan dan pencerobohan di Afghanistan dan Iraq atau isu-isu kemanusiaan di Kosova, Bosnia-Herzevogina dan Chechen sukar sekali untuk dirasionalisasikan kebenaran dan keadilan tindakan oleh sesuatu adikuasa asing yang terlibat. Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh mengubah keadaan ini. Kelihatan benar bahawa tiada risalah lain lagi kecuali Islam. Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan (hablunminallah) dan hubungan yang saling membantu sesama manusia (hablunminannas).

Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah Taurat, Zabur dan Injil itu terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan mencorengkan arang fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu diberikan penjelasan secara ilmu dan hakikat kebenaran. Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat Islam dan umat manusia sejagat. Umat Islam pula sebagai suatu umat pilihan tidak harus terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh arah pandu musuh dan semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan tanpa mengambil kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fiqh mengikut keutamaan (fiqh al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith.

Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati. Kekuatan rohani dan risalah Islamiah yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang teristimewa berbanding dengan mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya berada sama di barisan hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung kehidupan berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai dengan tuntutan Islam. Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama, tetapi bertindak membawa kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya menuntut perseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara iman, ilmu dan amal, mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu dengan kepentingan umum.

Sesungguhnya kita ingin melihat suatu kesegaran baru kebangkitan semula umat Islam di Dunia Melayu melalui dorongan keikhlasan para ulama di serata wilayah dan kota-kota penting dalam gerakan intelektualisme bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan tinggi dan mengisi segala sumber kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar dan insaf serta kembali kepada kesedaran aqidah yang lebih mendasari berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Krisis umat Islam hari ini adalah krisis aqidah sehingga tidak tahu lagi membezakan halal haram atau buruk baik. Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan melampaui batas agama dan fitrah kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu, terutama televisyen memaparkan segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu tindakan mesti dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan mendalam. Kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina tidak boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan keagamaan dan nilai budaya. Sistem politik sebagai teras kepemimpinan yang menentukan dasar-dasar sesebuah negara tadi tidak terlepas bebas dari keperluan kepada panduan Islam.

PENUTUP

Sesungguhnya citra Islam adalah citra ilmu, citra dakwah dan jihad, juga citra hidup bersih dan benar. Semoga kita pada hari ini mampu sedikit sebanyak memulihkan citra ini, atau setidak-tidaknya menyingkap kembali citra yang pernah dimainkan para ulama terdahulu dalam usahanya membimbing umat ke jalan hidup yang benar, disamping sekaligus membentuk budaya hidup dan pola berfikir masyarakatnya. Kita ingin melihat satu suasana ilmu dan budaya berfikir kembali cemerlang dan mendapat tempatnya yang layak dalam era globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme sekarang ini, di samping tentunya, tanpa mengabaikan kemudahan kebendaan dan kesenangan hidup demi hasanah dunia dan hasanah akhirat. Manusia akan menghadapi krisis tamadun atau pertembungan peradaban, seandainya tidak berpegang kepada keagamaan kerana ternyata gelombang baru peradaban manusia dalam konsep pascamodenismenya itu terang-terang menolak kehidupan yang berdasarkan kepada agama wahyu, apa lagi Islam.


About this entry