Kedatangan Islam dan Pembudayaan Alam Melayu – 1

Oleh
Dato’ Haji A. Aziz Deraman
Kuala Lumpur

MUKADIMAH

Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan. Kedatangan Islam telah mengubah dan merobah kehidupan keagamaan yang sebelum itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu-Buddha. Dalam tempoh hampir 15 abad dari awal Masihi sehingga permulaan abad ke-15, turun naiknya Kerajaan-Kerajaan Melayu boleh ditelusuri dari Zaman Funan, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan-kerajaan wilayah seperti di Kediri, Singosari, Kutai Kartanegara. Sungguhpun disebut hubungan Tanah Melayu dengan dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9 Masihi mungkin kerana dagang, tetapi kesan terbesar terjadi hanya sesudah terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka dengan kekuatan sistem pemerintahan dalam bidang siasah, ekonomi, sosial dan kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam Melayu.

Kemunculan kerajaan-keajaan Melayu Kesultanan Brunei, Sulu, Banjar, Makassar, Pontianak, Sambas, Mindanao dan keluasan pengaruh kuasa Empayar Melayu Melaka itu melebar dari seluruh Tanah Melayu sehingga ke Pattani di selatan Thai, menguasai sebahagian besar timur Sumatera [kota-kota pelabuhan seperti Siak, Kampar, Inderagiri dan sebagainya], menjadikannya sebuah pemerintahan yang disegani timur dan barat. Tegaknya Kesultanan Melayu-Islam di Acheh (Perlak), Medang Bhumi (Kelantan), Champa, Terengganu, Jawa dan kemudiannya pengaruh Melaka dalam konteks hubungan serantau dan dengan Dinasti China, India, Rom dan Eropah – kekuatannya yang dibentuk oleh Islam itu – menandakan telah wujud pengembangan Warisan Nabawi yang luar biasa dalam konteks keserumpunan dan keserantauan yang tersendiri.

KEDATANGAN ISLAM

Setelah kedatangan Islam, kehidupan baru manusia Alam Melayu atau Nusantara dalam keserumpunan itu bertukar daripada kepercayaan tahyul kepada suatu keyakinan yang berpaksikan aqidah yang didasari intelektualisme dan rasionalisme. Islam telah membawa kesan yang meluas dan mendalam terhadap kehidupan sosio-budaya massa dan membentuk corak kerajaan-kerajaan Melayu di Dunia Melayu dengan memperkenalkan pelbagai sistem, serta memperkenal dan meninggalkan tradisi keilmuan. Islam dalam kebudayaan Melayu dikatakan denyut nadi dan degup jantung kepada kesinambungan sejarah rantau, kemajuan bahasa, persuratan dan budaya dalam suatu bahagian tamadun manusia di bahagian timur dunia sejak berabad-abad yang lalu.

Yang paling penting lagi Alam Melayu seolah-olah menjadi penyambut kepada kejatuhan Islam di Andalusia yang mencapai kegemilangannya pada abad 7 hingga 14 Masihi dan Empayar Melaka muncul sewaktu Barat memulakan penerokaan dunia baru dan bertarung dalam Perang Salib. Barat telah menggerakkan Zaman Pembaharuan (Renaissance) yang bertujuan mengubah dan menukar segala kemajuan ilmu dan pengetahuan termasuk sains Islam mengikut kehendak dan kaca mata mereka. Mungkin Alam Melayu tidak menerima keseluruhan isi peradaban Zaman Andalusia, tetapi hakikat penerimaan aqidah Islamiyyah dan tradisi keilmuan sudah cukup bagi mewarnai corak keperibadian baru dan pedoman hala tuju sebuah peradaban di timur.

Kesan kedatangan Islam terhadap kehidupan sosial dan kebudayaan Melayu dan sistem berkerajaan merupakan suatu proses pembudayaan yang boleh dikaji dari pelbagai sudut seperti pendidikan dan pengembangan ilmu, bahasa dan persuratan, kebudayaan dan kesenian, gerakan kesedaran politik dan pentadbiran, pembaharuan pemikiran, ketatanegaraan, soal hukum hakam, sejarah wilayah, sistem sosial, aspek nilai dan sebagainya. Paksi kehidupan umat Melayu dan sejarah kebudayaannya menuju ke suatu sinar zaman baharu yang mendukung ciri-ciri rasionalisme, intelektualisme, keadilan dan menempatkan kemuliaan serta keperibadian insan pada tempatnya yang layak dan wajar. Suatu macam transformasi sosial dan transformasi budaya yang mengagumkan telah terjadi.

Dilihat secara menyeluruh, sejak zaman berzaman umat Melayu mungkin dapat digolongkan sebagai umat yang taat beragama. Setidak-tidaknya penghayatan syiar-syiar agama masih bersemarak. Setiap tahun jemaah haji dari rantau ini terutamanya dari Malaysia dan Indonesia adalah antara yang terbesar jumlahnya. Sebahagian besar umat Melayu masih menghormati hukum-hakam agama. Yang paling jelas orang Melayu atau umat serumpunnya – betapa pun lemah penghayatan Islam mereka – masih menghormati ajaran-ajaran Islam tertentu seperti larangan makan babi dan binatang-binatang lain yang diharamkan, termasuk juga binatang-binatang halal yang tidak disembelih secara Islam. Selain itu, fenomena bertukar agama atau keluar dari Islam boleh dikatakan jarang sekali terjadi. Lebih-lebih lagi di Malaysia, di mana Melayu telah begitu menyatu dengan Islam sehingga kejadian Melayu keluar dari Islam pasti menimbulkan kegemparan besar.

About these ads

About this entry